SHAH ALAM, 29 JUN: Pendaftaran baharu bagi Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) dibuka mulai 1 Julai, bagi membantu meringankan beban ibu bapa menanggung kos yuran pendidikan anak-anak.
Skim di bawah Kerajaan Negeri itu menawarkan bantuan yuran sebanyak RM50 sebulan kepada kanak-kanak yang layak dan disalurkan terus kepada tadika berdaftar, bukan dalam bentuk wang tunai.
Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menerusi Facebook memaklumkan, permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang tunas.yawas.com.my.
Senarai penuh tadika yang berdaftar dengan skim ini boleh disemak melalui pautan https://tunasv2.yawas.my/admin/list_tadika.php
Ibu bapa digesa membuat permohonan segera agar tidak terlepas peluang menikmati manfaat yang ditawarkan bagi menjamin akses pendidikan awal yang berkualiti kepada anak-anak.