AGENDA

BNPL dan pelajar IPT: Keperluan sebenar atau pengaruh FOMO?

28 Jun 2025, 9:30 PM
BNPL dan pelajar IPT: Keperluan sebenar atau pengaruh FOMO?
BNPL dan pelajar IPT: Keperluan sebenar atau pengaruh FOMO?
BNPL dan pelajar IPT: Keperluan sebenar atau pengaruh FOMO?
BNPL dan pelajar IPT: Keperluan sebenar atau pengaruh FOMO?
BNPL dan pelajar IPT: Keperluan sebenar atau pengaruh FOMO?

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 28 JUN: Dalam era pendigitalan pesat hari ini, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) semakin terdedah kepada cabaran kewangan termasuk kecenderungan menggunakan perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) yang menawarkan kemudahan bayaran fleksibel.

Walaupun dilihat praktikal, perkhidmatan itu mampu membawa risiko jika disalah guna, apatah lagi apabila budaya berbelanja berlebihan akibat fenomena Fear Of Missing Out (FOMO) atau dalam bahasa mudahnya, rasa takut ketinggalan kian menular dalam kalangan anak muda.

Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Aina Arifah Dzulkefli, 24, berpandangan pengguna muda harus menilai kemampuan kewangan sebelum terikut-ikut dengan trend atau tekanan sosial.

[caption id="attachment_707532" align="aligncenter" width="756"] Aina Arifah Dzulkefli, 24,[/caption]

“Mereka tidak sepatutnya terikut dengan budaya FOMO kerana sekiranya mereka menggunakan platform BNPL hanya sebab orang lain guna, lebih baik jangan guna selagi tiada keperluan yang mendesak.

“BNPL ini memang nampak mudah tetapi kalau mereka tidak mengawal penggunaannya dengan baik, ia boleh menyebabkan beban hutang yang tidak disangka walaupun ia menawarkan diskaun yang menarik,” katanya kepada Media Selangor.

Namun bagi segelintir pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), BNPL dilihat sebagai penyelamat untuk membeli barangan asas dan makanan secara dalam talian, pilihan yang lebih mudah dan berpatutan berbanding pasar raya.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM Shah Alam Razlan Habil, 26, berkata selain tawaran harga menarik, faktor logistik juga menjadi sebab BNPL menjadi pilihan utama.

[caption id="attachment_707531" align="aligncenter" width="741"] Razlan Habil, 26,[/caption]

“Faktor kebanyakan pelajar yang tidak mempunyai kenderaan sendiri pergi ke pasar raya atau restoran berdekatan menjadikannya sebagai pilihan yang lebih praktikal untuk membeli barang tersebut dalam talian,” katanya.

Bagi pelajar luar kampus, kemudahan itu turut dimanfaatkan untuk mengurus perbelanjaan dapur secara mingguan.

Ilyana Sofia Khairul Amilin, 21, dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik UiTM Shah Alam berkata perancangan perlu dibuat agar tidak terbeban dengan hutang.

[caption id="attachment_707533" align="aligncenter" width="786"] Ilyana Sofia Khairul Amilin, 21,[/caption]

“Kadang-kadang bila nak membeli barang dapur pun mahal dengan keadaan ekonomi sekarang, bila duduk luar, nak beli barang setiap hari susah, jadi biasanya beli untuk seminggu.

“Namun, mereka juga perlu meletakkan had penggunaan BNPL secara bulanan agar tidak berdepan dengan tekanan kewangan untuk membayar hutang tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan terdapat 5.1 juta pengguna aktif BNPL setakat Disember 2024, dengan majoriti berusia 21 hingga 45 tahun dan berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.

Beliau turut memaklumkan jumlah transaksi BNPL melonjak kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024 berbanding RM4.9 bilion dalam tempoh enam bulan pertama, sementara jumlah tertunggak kekal terkawal pada RM82.6 juta, bersamaan 2.9 peratus daripada nilai keseluruhan kredit BNPL.

Sementara itu, Pegawai Kanan Pembangunan Modul Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd Khairil Ashraf Mohamad Karid menegaskan BNPL bukan penyumbang utama kepada beban hutang pelajar, sebaliknya berpunca daripada pengurusan kewangan peribadi yang lemah.

[caption id="attachment_707534" align="aligncenter" width="813"] Pegawai Kanan Pembangunan Modul, Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Mohd Khairil Ashraf Mohamad Karid ketika ditemu bual bersama pemberita di Media Selangor pada 25 Jun 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Saya yakin mereka juga sudah memiliki asas pengurusan kewangan hasil pendedahan awal dan kempen literasi, walaupun terdedah kepada FOMO dan Fear of Other People’s Opinion (FOPO), iaitu rasa takut terhadap pendapat orang lain akibat pengaruh media sosial.

“Risiko tetap wujud bagi mereka yang tidak mampu mengurus komitmen kewangan dengan baik dan boleh menyebabkan tekanan emosi seperti rasa cemas dan stres akibat tunggakan bayaran yang semakin bertambah,” jelasnya.