AGENDA

Sejak bila surau jadi tempat eksklusif, orang tua iktikaf dihalau? - PU Azhar

28 Jun 2025, 5:45 PM
Sejak bila surau jadi tempat eksklusif, orang tua iktikaf dihalau? - PU Azhar
Sejak bila surau jadi tempat eksklusif, orang tua iktikaf dihalau? - PU Azhar

Oleh Muhammad Rey Hazriell

PETALING JAYA, 28 JUN: Anak kepada jemaah yang dihalau ketika beriktikaf di Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu sehingga video tersebut tular, kesal dengan kejadian tersebut.

Azhar Hilmi yang juga peserta program Pencetus Ummah (PU) berkata ketika kejadian bapanya berehat seketika diruang solat sambil membaca al-Quran dan menunggu waktu duha.

"Sejak bila surau jadi tempat eksklusif yang orang tua pun boleh kena halau? Bapa tidak mengganggu jemaah lain, hanya beriktikaf di dalam surau yang merupakan amalan bapanya sehinggalah selesai waktu dhuha.

[caption id="attachment_707546" align="alignleft" width="300"] Azhar Hilmi[/caption]

“Lebih menyakitkan, dia siap rakam video abah secara terbuka seolah-olah abah ni buat salah besar. Tak ada adab. Tak ada ihsan. Tak ada rasa hormat. Rasa geram dan sakit hati bila tengok video tu,” ujarnya

Jelasnya, menjaga surau bukan sekadar memastikan fizikal bangunan kekal cantik, tetapi lebih penting menjaga akhlak dan adab terhadap sesama jemaah.

PU Azhar juga menegaskan bahawa tindakan seperti itu menggambarkan hilangnya rasa hormat kepada warga emas dan mengundang fitnah terhadap fungsi surau sebagai tempat rahmat.

“Kita boleh halau orang dari surau. Tapi kita tak boleh halau doa dan keluhan mereka dari langit," katanya.

Beliau menyeru agar masyarakat kembali kepada nilai ihsan dalam menguruskan rumah ibadat supaya tidak berlaku salah faham dan tindakan melampau.

Sebelum ini, tular di media sosial video seorang seorang wanita menghalau seorang jemaah yang sedang beriktikaf sambil membaca al-Quran di sebuah surau sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Bagaimanapun, pihak pentadbir serta ahli jawatankuasa (AJK) surau berkenaan melahirkan rasa kesal dan membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut, dan menegaskan perbuatan itu bukan hasil persetujuan mereka.