ad
AGENSI

Pelancaran YANIS 9 Ogos, tawar khidmat OKU tanpa had umur

28 Jun 2025, 4:00 PM
Pelancaran YANIS 9 Ogos, tawar khidmat OKU tanpa had umur

SHAH ALAM, 28 JUN: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang ditubuh khusus untuk membela nasib serta masa depan anak kurang upaya (OKU) bakal dilancarkan secara rasmi pada 9 Ogos depan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata majlis pelancarannya dijadual disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin selaku Penaung YANIS.

“Pelancaran rasmi pada 9 Ogos dan kita dapat perkenan Tengku Permaisuri untuk merasmikannya. YANIS telah ditubuhkan, dari segi akta Suruhanjaya Syarikat ia telah berdaftar bawah Syarikat Terhad Menurut Jaminan (CLBG).

“YANIS akan diletakkan di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan pemindahan kakitangan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar berkata YANIS bakal ditubuhkan bagi memperluas perkhidmatan kepada OKU tanpa mengira had umur berbanding sebelum ini hanya melibatkan bawah 18 tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selaras matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1), YANIS ditubuh untuk mempertingkat inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat dengan tumpuan terhadap kumpulan sasar.

Selain itu, katanya, tumpuan turut diberikan kepada program pendidikan anak OKU, latihan dan pendayaupayaan agar mereka mampu mandiri dan mendapatkan peluang pekerjaan lebih baik.

Untuk rekod, YANIS merupakan agensi yang dijenamakan semula daripada Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan kini didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kelulusan kementerian.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.