Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 27 JUN: Seramai 391 kanak-kanak sudah disaring menerusi Program Saringan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Selangor (SPAKS) sejak pendaftaran dibuka Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Selangor itu menyasarkan 1,500 kanak-kanak berusia antara 3 hingga 5 tahun.
"Seramai 66 kanak-kanak telah disaring melalui program yang dijalankan YAWAS manakala 325 kanak-kanak selesai menjalani saringan di bawah kendalian KEMAS Selangor.
[caption id="attachment_563316" align="alignleft" width="500"] Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor Gan Pei Nei berucap ketika program bantuan masuk sekolah ahli TAWAS bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
"Program ini turut melibatkan 300 kanak-kanak daripada komuniti Orang Asli, yang dijadual disaring dalam masa terdekat," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, program dengan peruntukan RM330,000 itu merupakan usaha bersepadu Selangor bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang sama rata dalam mencapai potensi perkembangan mereka.
"SPAKS merupakan projek perintis Kerajaan Selangor yang menawarkan saringan perkembangan awal kanak-kanak percuma ke arah meningkatkan aksesibiliti keluarga B40 terhadap saringan perkembangan awal kanak-kanak menggunakan inovasi kecerdasan buatan (AI).
"Keputusan saringan akan digunakan sebagai rujukan untuk menyediakan program intervensi bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak sekiranya diperlukan," tambahnya.
Menurut beliau, pendaftaran dibuka sepanjang tahun dan menggalakkan ibu bapa yang layak untuk memohon.
Orang ramai boleh hubungi talian 03-54818800 untuk maklumat lanjut.
Syarat-syarat program saringan:
- Pemohon (ibu/bapa) adalah warganegara Malaysia dan pengundi di Selangor
- Menetap di Selangor
- Pendapatan isi rumah mestilah RM5,000 ke bawah (gaji kasar)
- Anak berusia dari 3 tahun genap hingga 5 tahun
- Tidak pernah menjalani saringan dan belum pernah didiagnosis oleh doktor pakar
Dokumen sokongan yang diperlukan:
- MyKid atau sijil lahir anak
- MyKad ibu dan bapa
- Akuan pendapatan atau slip gaji (seisi keluarga) ibu dan bapa (gaji kasar)
- Salinan semakan daftar pemilih (SPR)