ad
AGENDA

36 warga Bangladesh ditahan, rangkaian militan warga asing tumpas

27 Jun 2025, 3:53 PM
36 warga Bangladesh ditahan, rangkaian militan warga asing tumpas

PUTRAJAYA, 27 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penahanan dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu.

"Dalam operasi terbabit, lima daripada mereka dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam serta Johor Bahru.

“15 individu lagi telah dikenakan perintah pengusiran manakala 16 individu sedang disiasat terkait penglibatan mereka dalam gerakan militan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas PDRM mendapati kumpulan berkenaan membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS) ke dalam negara.

Saifuddin Nasution berkata kumpulan itu turut mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.

"Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.

"Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata kejayaan itu juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam.

Saifuddin Nasution turut mengulangi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan menggandakan penguatkuasaan serta bekerjasama dengan agensi keselamatan dalam dan luar negara untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil dan bebas daripada ancaman keganasan.

"Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.