KLANG, 27 JUN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sedia mempertimbang rayuan penyewa gerai dan kios yang mengemukakan alasan keperluan menggaji pekerja asing sebagai pembantu.
Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pihaknya masih bertegas hanya warga tempatan boleh digunakan, namun menerima alasan mengapa mereka perlu meneruskan khidmat warga asing.
“Kalau ada rayuan, kita pasti akan melihat dan memprtimbangkannya berdasarkan elemen kemanusiaan. Ini kerana di gerai majlis, aktiviti perniagaan berskala kecil, jika mereka mampu menggaji warga asing bermakna sesuai berpindah ke restoran.
[caption id="attachment_707221" align="alignleft" width="345"] Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain[/caption]
“Kita lihat elemen kemanusiaan seperti adakah mereka berusia, tidak mampu laksana kerja sendirian dan itu sahaja satu-satunya sumber pendapatan.
"Ini kerana kita mahu beri peluang kepada peniaga kecil mengusahakan perniagaan mereka sendiri,” katanya kepada Media Selangor.
MBDK menguatkuasakan larangan pengambilan pekerja asing sebagai pembantu di semua gerai dan kios mulai 1 Jun lalu.
Penguatkuasaan itu melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman dan kios di pasar awam milik MBDK bagi memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana diberi keutamaan kepada warga tempatan.
Hanya pekerja warganegara Malaysia sahaja dibenarkan bekerja sebagai pembantu gerai dan diwajibkan berdaftar dengan pihak majlis.