SHAH ALAM, 29 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menguatkuasakan larangan pengambilan pekerja asing sebagai pembantu di semua gerai dan kios mulai Ahad ini.
Penguatkuasaan itu melibatkan semua penyewa gerai makanan, minuman dan kios di pasar awam milik MBDK bagi memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana diberi keutamaan kepada warga tempatan.
Datuk Bandar Dato’ Abd Hamid Hussain berkata hanya pekerja warganegara Malaysia sahaja dibenarkan bekerja sebagai pembantu gerai dan diwajibkan berdaftar dengan pihak majlis.
“Langkah ini bagi memberi peluang dan keutamaan pekerja kepada rakyat tempatan selain memperkemaskan lagi sistem pemantauan dan pendaftaran pekerja,” katanya dalam perutusan Datuk Bandar dalam mesyuarat penuh MBDK hari ini.
Sebelum ini, MBDK menerusi kenyataan mengingatkan penyewa supaya mematuhi peraturan baharu ini bagi mengelak tindakan undang-undang atau pembatalan lesen sewaan.
Ia bagi memastikan peluang pekerjaan dalam sektor kecil dan sederhana seperti ini diberi keutamaan kepada warga tempatan, selaras dengan aspirasi kerajaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata MBDK menyediakan kaunter van bergerak bagi kutipan bayaran cukai taksiran sepanjang Jun ini, bagi memudahkan penduduk setempat menjelaskan pembayaran cukai masing-masing.
Menurutnya, kaunter van bergerak disediakan dari pada Sabtu dan Ahad mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari di Pasaraya NSK Pekan Meru (14 dan 15 Jun) serta pasar pagi Sri Andalas (21 dan 22 Jun).