ad
AGENDA

Jumlah saman bercanggah, KDEBWM atur pertemuan dengan JPJ, selesai isu

26 Jun 2025, 4:13 PM
Jumlah saman bercanggah, KDEBWM atur pertemuan dengan JPJ, selesai isu

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 26 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan bertemu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membincangkan jumlah saman yang bercanggah termasuk mencari penyelesaian isu tersebut.

Pengarah Urusannya Dato' Ramli Mohd Tahir berkata semakan pihaknya menerusi aplikasi MySIKAP mendapati jumlah saman aktif ialah 14,332, bukan 22,017 seperti diumum oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Kami akan mengadakan pertemuan dengan pihak JPJ secepat mungkin untuk membincangkan jumlah saman yang sebenar dan mencari penyelesaian kepada isu ini.

"Pihak KDEBWM juga telah menyelesaikan hampir 23,235 saman terdahulu sejak 2015 yang bernilai RM2.380 juta dan ia bermakna apabila menerima kompaun, pihak kami buat bayaran," ujarnya.

Beliau menjelaskan dengan kapasiti 1,500 kenderaan termasuk lori kompaktor dan Roll-on Roll-off (RoRo) di seluruh Selangor melibatkan 1,100 subkontraktor yang membawa jenama syarikat itu, pastinya semua rekod saman diletakkan di bawah KDEBWM.

"Model seperti ini tidak ada di tempat lain, hanya Kerajaan Selangor kerana ingin bantu pihak vendor dan kontraktor memiliki lori baharu supaya dapat memastikan negeri ini bersih.

"Di negeri lain, konsesi lain, vendor dan kontraktor perlu beli sendiri, maka nama akan didaftarkan oleh syarikat vendor itu maka saman yang diperoleh akan terus diberikan kepada pemilik syarikat, tidak dilonggokkan di bawah satu nama seperti KDEBWM.

"Pastinya tidak boleh lari daripada kesilapan dan kompaun tapi kami sangat telus dan kami akur malah rekod selama 10 tahun menunjukkan kami tidak culas dalam menjelaskan saman tertunggak," jelasnya ketika ditemui pada sidang media berhubung isu saman syarikat pengurusan sisa pepejal itu hari ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini mendedahkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata antara syarikat terbabit ialah KDEB Waste Management Sdn Bhd dengan 22,017 saman, Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108), Advancecon Mantap Sdn Bhd (3,620), Cepat Ekspres Sdn Bhd (540) dan New Hoover Ekspress & Travels Sdn Bhd (512).

Beliau berkata semua syarikat terbabit diberi tempoh selama 14 hari bermula hari ini untuk menyelesaikan semua saman tertunggak di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atau cawangan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.