Oleh Anna Farina Abdul Rauf
KLANG, 26 JUN: Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) menyantuni kira-kira 120 golongan gelandangan dan miskin bandar menerusi Program 'Homeless Hope' di pekarangan Stesen Bas Klang di sini, malam tadi.
Ketua Komunikasi Korporatnya berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Media Selangor mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Management and Science University (MSU) dan pertubuhan kebajikan BeKind.
“Julung kali kami mendekati golongan gelandangan menerusi program CSR dan inisiatif itu mencerminkan komitmen kakitangan untuk turut serta menyumbang kepada masyarakat yang terpinggir.
“Antara bantuan yang diedarkan seperti pek makanan dan kit kebersihan selain sumbangan kakitangan seperti pakaian dan lampin pakai buang bayi dan dewasa,” kata Mahadi Mohd Mustafa.
Tambah beliau, Media Selangor merancang untuk meneruskan program seumpama itu secara berkala sebagai usaha menyantuni komuniti rentan di Selangor.
“Kami percaya, dengan sokongan rakan strategik, usaha ini boleh diperluas ke lokasi lain,” katanya.
[caption id="attachment_707145" align="alignnone" width="899"] Golongan gelandangan dan miskin bandar mendapatkan minuman percuma menerusi Program 'Homeless Hope' di pekarangan Stesen Bas Klang pada 25 Jun 2025. Foto AMEEN AZIZUL/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, Setiausaha Agong BeKind, Muhammad Adib Azahar menyambut baik penglibatan syarikat korporat dalam usaha membantu gelandangan.
Beliau berkata pihaknya sedia berganding bahu dengan mana-mana pihak termasuk agensi media dalam menjayakan misi kemanusiaan mereka.
“Kerjasama seperti ini, bersama Media Selangor sangat kami alu-alukan kerana ia memberi impak besar dan mampu menjangkau lebih ramai penerima bantuan,” katanya.