ad
AGENSI

IWK nafi air kumbahan punca banjir, isu utama ialah sampah dalam longkang

25 Jun 2025, 12:16 PM
IWK nafi air kumbahan punca banjir, isu utama ialah sampah dalam longkang

Oleh Rafiqah Rauf

SHAH ALAM, 25 JUN: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menafikan dakwaan banjir yang melanda Taman Sri Muda berpunca isu proses aliran air kumbahan.

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan sistem paip pembetungan di kawasan itu telah beroperasi

lebih 30 tahun, dibina mengikut perancangan teknikal  terperinci berdasarkan pelan pembangunan perumahan.

"Laluan pelepasan air terawat dari loji tersebut merupakan laluan asal yang sejak dari awal pembinaan dan  tiada perubahan fungsi dilakukan," maklumnya.

Pasukan operasi IWK mendapati punca utama isu limpahan air dalam longkang dan parit berpunca kurang penyelenggaraan yang baik.

"Longkang dan parit berkaitan didapati penuh dengan sampah, mendapan pasir dan juga akar pokok yang telah menutupi saluran longkang berkenaan."

"Keadaan ini menyebabkan aliran air kumbahan terawat dari Loji Rawatan Kumbahan (LRK) berdekatan, serta air hujan dari kawasan perumahan berkenaan tidak dapat mengalir dengan lancar," katanya.

Tambah IWK, kedudukan Taman Sri Muda yang rendah serta berhampiran dengan Sungai Klang turut menyumbang kepada risiko banjir yang berulang di kawasan tersebut.

IWK berkata, hasil semakan dan siasatan berkenaan telah dimaklumkan kepada Ahli Majlis Zon 9, Ramu Nadarajan serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Penafian ini dibuat IWK susulan laporan SelangorKini tentang gesaan Ramu yang meminta IWK mempercepat proses pengalihan aliran air kumbahan ke lokasi yang lebih sesuai kerana didakwa menjadi punca banjir di taman perumahan tersebut.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.