AGENDA

Mahkamah putus tanah di Jalan Duta milik Kerajaan Persekutuan

24 Jun 2025, 3:29 PM
Mahkamah putus tanah di Jalan Duta milik Kerajaan Persekutuan

SHAH ALAM, 24 JUN: Mahkamah Rayuan memutuskan tanah di Jalan Duta kekal sebagai hak milik Kerajaan Persekutuan, sekali gus menolak tuntutan pemilikan oleh Semantan Estate (1952) Sdn Bhd.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng juga memutuskan bahawa kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat berkenaan, lapor Sinar Harian.

Penaksiran pampasan tersebut juga akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi dengan bantuan pakar. Mahkamah turut menolak rayuan silang Semantan Estate supaya tanah berkenaan dipindah milik kepadanya.

“Sejak kerajaan mengambil alih tanah itu pada Disember 1956, ia menjangkau hampir 70 tahun berlalu dan pada waktu itu tanah berkenaan hanya dipenuhi pokok getah tua.

“Hari ini, ia telah berubah menjadi sebuah bandar yang maju dengan kemudahan jalan raya, lebuh raya, jejambat, dan banyak bangunan kerajaan.

“Jika mahkamah memerintahkan pemindahan tanah itu kembali kepada Semantan Estate, ia akan menyebabkan bukan sahaja ia mendapat hak milik tanah, tetapi juga semua bangunan awam dan infrastruktur itu,” katanya.

Semantan Estate turut merayu terhadap satu lagi keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman syarikat itu untuk mendapatkan semula tanah berkenaan.

Syarikat itu juga merayu keputusan Mahkamah Tinggi, yang akhirnya membenarkan permohonan Pendaftar Tanah untuk perintah untuk menangguhkan pemindahan tanah kepada Semantan Estate.

Tanah tersebut terletak di kawasan strategik Jalan Duta, atau lebih dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan seperti Stadium Hoki Nasional dan Arkib Negara.

Kes ini berlarutan sejak tahun 2003 apabila syarikat tersebut mendakwa kerajaan mengambil tanah berkenaan tanpa prosedur sah.

Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan pada 2009 bahawa kerajaan telah mengambil secara tidak sah tanah itu serta rayuan yang dikemukakan oleh kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kemudiannya tidak berjaya.

Semantan Estate turut memfailkan saman pada Februari 2017 terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009.