ad
AGENDA

Ketegangan memuncak, Qatar tutup sementara ruang udara

24 Jun 2025, 7:17 AM
Ketegangan memuncak, Qatar tutup sementara ruang udara

ISTANBUL, 24 JUN: Qatar menutup sementara ruang udaranya pada Isnin malam susulan ketegangan yang terus memuncak di rantau ini, menurut Kementerian Luar negara Teluk itu, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat di negara itu.

“Selaras dengan komitmen Qatar terhadap keselamatan semua individu di wilayahnya, pihak berkuasa berkaitan telah memutuskan untuk menggantung sementara navigasi udara di ruang udara negara ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan bahawa keputusan berkenaan adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga yang lebih meluas berikutan keadaan serantau yang semakin meruncing.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa Qatar sedang “memantau situasi secara dekat dan berterusan” serta “menilai perkembangan bersama rakan serantau dan antarabangsa.”

Kementerian itu berkata orang ramai akan dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan menerusi saluran rasmi.

“Keselamatan dan kesejahteraan semua individu di Qatar terus menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa negara Teluk itu tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan langkah perlindungan yang diperlukan.

Ketegangan serantau memuncak pada Ahad selepas Amerika Syarikat (AS) mengebom tiga kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.

-BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.