SHAH ALAM, 23 JUN: Peniaga di platform e-dagang antaranya Lazada dan Shopee perlu menyertakan maklumat diri serta menyediakan huraian produk dalam bahasa Melayu.
Berdasarkan makluman dikeluarkan Lazada, penguatkuasaan mengikut Peraturan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2024 mewajibkan pembeli mendedahkan maklumat.
Ia termasuk menyatakan nama penjual atau syarikat, alamat perniagaan, laman web, dan emel serta nombor telefon di aplikasi e-dagang berkenaan.
Selain itu, huraian produk harus disediakan dalam bahasa Melayu namun terjemahan tambahan bahasa lain seperti bahasa Cina dan Inggeris dibenarkan.
Bagi produk kategori kesihatan dan keselamatan perlu memuat naik dokumen atau sijil berkaitan.
Sementara itu, menerusi pemakluman di aplikasi pada 19 Jun, Shopee memaklumkan penetapan sepatutnya berkuat kuasa esok namun dilanjutkan sehingga satu tarikh yang akan diumum kelak.