ad
AGENSI

MIISMAM 2025: Selangor ungguli kejohanan peringkat kebangsaan

23 Jun 2025, 2:37 PM
MIISMAM 2025: Selangor ungguli kejohanan peringkat kebangsaan

OLEH ALIFF HAIQAL MOHAMED

SHAH ALAM, 23 JUN: Selangor muncul juara keseluruhan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-11 yang berlangsung selama tiga hari di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Perak.

Selangor kembali merebut gelaran juara keseluruhan selepas berjaya meraih tiga gelaran johan, tiga naib johan dan tiga tempat ketiga dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Antara acara utama yang menjadi penyumbang kepada kejayaan itu termasuk inovasi, kalam jamaie serta syarahan bahasa Melayu (lelaki).

Menurut kenyataan di Facebook Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), prestasi cemerlang kontinjen negeri itu adalah hasil komitmen tinggi para pelajar, guru pembimbing serta sokongan padu pelbagai pihak yang berganding bahu dalam usaha melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.

“Persembahan peserta bukan sahaja menyerlah dari segi penguasaan ilmu, tetapi turut menonjol melalui buah fikiran yang segar, pengucapan mantap, penghayatan teks serta disiplin tinggi sepanjang pertandingan".

“Kejuaraan Selangor ini membuktikan kekuatan negeri dalam membentuk modal insan yang unggul, berteraskan ilmu, akhlak serta pembangunan holistik,” kata JAIS.

MIISMAM merupakan acara tahunan anjuran bersama Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan pelbagai agensi berkaitan yang menghimpunkan sekolah menengah agama seluruh negara bagi mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam pelbagai bidang.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh wakil rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia bersama-sama wakil agensi agama negeri dan Persekutuan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.