SHAH ALAM, 23 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berduka menerima khabar pemergian isteri kepada Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang awal pagi tadi.
Anwar menerusi hantar Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan seluruh keluarga.
"Seluruh ingatan kami pada keluarga allahyarhamah, terutama buat Abang Jo yang baru saya temui semalam. Moga terus sabar dan tabah menerima ujian ini.
"Kami sekeluarga menitipkan doa semoga ruh allahyarhamah diampunkan segala dosanya dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi-Nya," tulisnya.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.34 pagi di sebuah pusat perubatan swasta.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol memaklumkan penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek Negeri pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.
Allahyarhamah merupakan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak kedua, Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman, dan meninggalkan dua cahaya mata — Abang Abdillah Izzarim, 45, dan Dayang Norjihan, 43.