Oleh RAFIQAH RAUF
SHAH ALAM, 22 JUN: Media memainkan peranan sangat penting dalam menetapkan naratif serta membentuk persepsi awam, khususnya berkaitan pelarian dalam memupuk pandangan positif.
Pegawai Program (Program Tindakan Pelarian) Tenaganita berkata media harus menonjolkan kisah positif, seperti pelarian yang menyumbang dalam komuniti melalui program gotong-royong atau kerja sukarela.
"Ada pelarian yang terlibat dalam projek gotong-royong di kawasan tempat tinggal mereka, yang turut memberi manfaat kepada penduduk tempatan, khususnya rakyat Malaysia."
"Selain itu, terdapat juga pelarian yang menjadi sukarelawan di klinik bergerak, yang turut memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Orang Asli dan rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan.
"Jadi, saya rasa cerita-cerita positif seperti ini juga wajar diberikan liputan oleh pihak media," kata Katie Fung ketika menjadi panel jemputan program Bicara Semasa bertajuk "Solidariti bersama Pelarian: Realiti Si Pelari" terbitan Media Selangor.
[caption id="attachment_706687" align="alignleft" width="340"] Pegawai Program (Program Tindakan Pelarian) Tenaganita, Katie Fung[/caption]
Pelarian bukan pendatang haram
Menurut Katie, salah faham juga timbul apabila pelarian disamakan dengan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Hakikatnya, pelarian merupakan individu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala PATI tidak mempunyai status sah," katanya.
Menurut data UNHCR, terdapat sekitar 185,000 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, dengan majoritinya dari Myanmar.
Mengulas lanjut, Katie berkata sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak golongan pelarian, Tenaganita turut menjalankan program latihan kemahiran khusus kepada wanita pelarian selain menyokong usaha pemberian akses pendidikan kepada kanak-kanak komuniti itu.
"Kami ada menganjurkan program yang menyokong kumpulan pelarian wanita dengan menganjurkan program Women and Girls At Risk Project (WAGAR) kepada mereka serta ahli komuniti pelarian wanita yang lain.
"Dari aspek pendidikan pula, kami secara tidak langsung ada sokong sebuah pusat pendidikan alternatif untuk kanak-kanak pelarian mendapat pendidikan asas," katanya lagi.
[caption id="attachment_706689" align="alignnone" width="879"] Pelajar Taylor's College membuat persembahan pentas tentang kehidupan pelarian. Foto Katie Fung[/caption]
Mengakui terdapat kekangan serta cabaran dalam mendidik masyarakat awam tentang golongan rentan itu, Katie berkata antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan mengadakan program libat urus bersama mahasiswa institusi pengajian tinggi.
"Kita pernah adakan program bersama pelajar Taylor's College, di mana mereka membuat persembahan pentas tentang cabaran kehidupan pelarian.
"Selain itu, terdapat juga bengkel kemahiran dengan kerjasama University of New South Wales," ujarnya.
Akses kesihatan masih terbatas
Dalam aspek kesihatan, pelarian yang mempunyai kad UNHCR layak menerima diskaun 50 peratus di hospital kerajaan, namun kos selepas diskaun masih tinggi bagi kebanyakan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Katie memaklumkan, Tenaganita turut membantu dalam kes kecemasan dengan merujuk kepada UNHCR untuk mempercepatkan proses pendaftaran kad pelarian.
"Walapun kami tidak dapat membantu sepenuhnya, kami membawa kes kecemasan kepada UNHCR agar mempercepatkan proses pendaftaran individu pelarian yang memerlukan perhatian perubatan. Namun, proses ini juga menghadapi had tertentu disebabkan kapasiti terhad pihak UNHCR," katanya.
[caption id="attachment_706688" align="alignnone" width="853"] Bengkel bersama komuniti pelarian wanita. Foto Katie Fung[/caption]
Menurut laporan Global Slavery Index, Malaysia dikenal pasti sebagai salah satu negara transit utama untuk pemerdagangan manusia, dan ramai pelarian menjadi mangsa eksploitasi ketika cuba mendapatkan perlindungan.
Katie menyeru masyarakat melihat pelarian sebagai golongan yang mempunyai semangat juang tinggi selain berharap kerajaan dapat mewujudkan dasar yang lebih inklusif dan sensitif terhadap isu pelarian.
"Kita perlu pandang pelarian bukan sekadar golongan yang memerlukan bantuan, tetapi lihat mereka sebagai individu yang mempunyai semangat juang serta komited untuk memberi kontribusi kepada masyarakat setempat.
"Disamping itu, beri mereka ruang dan peluang untuk berdikari serta menjalani kehidupan yang lebih baik dalam tempoh mereka berada di Malaysia," katanya.