Oleh AIDA NYAN
SHAH ALAM, 22 JUN: Operasi pemadaman api sebuah kilang di Puchong selesai dengan pasukan bomba kini menumpukan kerja baik pulih dan pengesanan bara api bawah runtuhan struktur.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Muhammad Azizulhakim Idris berkata kedua-dua proses tersebut mengambil sedikit masa berikutan timbunan atap zink di lokasi kejadian.
"Sekarang ini tinggal dua tiga titik panas sahaja untuk diselesaikan. Bahagian lain tiada masalah, jadi tidak lama lagi operasi overhaul (baik pulih) akan selesai," katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, anggaran kerugian dan punca kebakaran belum dikenal pasti kerana tiada yang dibenarkan masuk ke kawasan terjejas selagi kerja baik pulih belum selesai.
Tengah hari semalam, sebuah kilang kertas di Jalan Lembah Kinrara, Kampung Lembah Kinrara musnah selepas kira-kira 80 peratus struktur bangunan terbakar.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Haswan Mohd Wasir berkata bahan mudah terbakar dikenal pasti sebagai punca api marak dan merebak dengan cepat.
Menurutnya, barangan seperti tisu, plastik dan pinggan mangkuk menyebabkan api merebak dengan cepat yang ditempatkan di enam stor simpanan dalam kilang atau gudang jualan berkenaan.