ad
AGENDA

Komuniti main peranan penting, jadi ‘mata dan telinga’ pantau perubahan iklim

18 Jun 2025, 9:30 PM
Komuniti main peranan penting, jadi ‘mata dan telinga’ pantau perubahan iklim

OLEH RAFIQAH RAUF

SHAH ALAM, 18 JUN: Pendidikan dan kesedaran masyarakat terhadap perubahan iklim perlu diperkasa, khususnya untuk menggalakkan komuniti menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam memantau kejadian berkaitan cuaca ekstrem.

Pengarah Eksekutif Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC), Daniel Lee berkata, penglibatan masyarakat, terutamanya di kawasan berisiko seperti tanah tinggi, amat penting bagi mengenal pasti tanda awal seperti rekahan dan hakisan.

“Kalau hanya bergantung kepada pihak kami untuk membuat tinjauan, mungkin kami akan anggap ia hakisan lama, bukan baharu berlaku. Tapi jika penduduk sudah peka, mereka boleh maklumkan segera dan ini membolehkan kami ambil tindakan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendekatan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh usaha adaptasi dan mitigasi kesan perubahan iklim ketika menjadi panel jemputan dalam program Bicara Semasa, baru-baru ini.

Daniel turut menegaskan bahawa usaha ini penting bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat, malah untuk memastikan daya saing ekonomi negara kekal kukuh, khususnya selepas negara dilanda banjir besar pada 2021.

“Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kerugian akibat insiden itu mencecah RM6.1 bilion di seluruh negara, dengan RM3.1 bilion daripadanya berlaku di Selangor.”

“Daripada jumlah itu, RM1 bilion melibatkan kerosakan rumah, RM800 juta kenderaan, dan lebih RM1 bilion lagi melibatkan sektor perniagaan serta industri pembuatan.”

“Ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan rakyat tetapi turut memberi kesan kepada ekonomi negeri yang menyumbang 26 peratus kepada KDNK negara,” katanya.

Pada 17 Disember 2021, hujan lebat luar biasa melebihi 300 milimeter telah menyebabkan kejadian banjir luar biasa di Selangor dan telah menjejaskan lebih 31,000 mangsa.

Selangor komited kepada pembangunan mampan

Penubuhan SCAC membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengambil langkah ke hadapan dalam menangani bencana iklim.

Dalam pada itu, Daniel berkata terdapat beberapa perancangan yang sedang dirangka bagi memastikan agenda kelestarian dapat dijayakan sebaik mungkin.

“Komitmen Kerajaan Negeri adalah terhadap pembangunan yang mampan, boleh diimbangi dengan kelestarian alam.”

“Kerajaan Negeri telah menunjukkan banyak komitmen menerusi Dasar Perubahan Iklim, penubuhan SCAC serta mewujudkan polisi-polisi seperti Moratorium Aktiviti Pembalakan yang berlangsung sehingga 2035, dan kemungkinan akan dilanjutkan lagi,” ujarnya.

Selain itu, katanya antara usaha lain adalah dengan menumpukan sektor ekonomi hijau serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewujudkan pelan tindakan perubahan iklim.

“Pembangunan projek-projek tenaga boleh diperbaharui (RE), projek kecekapan tenaga untuk bangunan, kita juga ingin teroka ekonomi kitaran dan pelbagai inisiatif kitar semula sedang dipergiat."

“Kami juga sedang merancang beberapa siri bengkel untuk membangunkan kapasiti dan memberi Latihan kepada PBT untuk mengenal pasti risiko serta membangunkan pelan tindakan yang bersesuaian untuk menangani risiko tersebut,” katanya lagi.

Pada 19 Mei lepas, SCAC telah dilancarkan dengan berperanan menjadi pusat penyelidikan dan penyelarasan dasar iklim berasaskan data dan sains bagi merangka tindakan lebih proaktif menghadapi krisis iklim.

Menurut EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin, SCAC akan menyelaras penyelidikan, menjalin kerjasama antara institusi akademik dan agensi kerajaan serta penyelarasan mengikut piawaian antarabangsa seterusnya menjadikan negeri itu contoh utama tadbir urus iklim di Malaysia.

Usaha tangani perubahan iklim bermula dari rumah

Tambah Daniel, perubahan iklim tidak hanya boleh ditangani pada peringkat kerajaan atau agensi semata-mata, sebaliknya perlu bermula dari rumah dan komuniti melalui perubahan gaya hidup seperti penjimatan tenaga dan penggunaan pengangkutan awam.

“Tiga penyumbang besar pelepasan karbon adalah elektrik, minyak pengangkutan dan sisa. Masyarakat awam boleh kurangkan kesan ini dengan amalan seperti penggunaan tenaga berhemah, kitar semula dan kompos. Ia langkah mudah tetapi sangat besar impaknya jika dilakukan secara kolektif,” jelasnya.

Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), keperluan bekalan tenaga elektrik di Selangor semakin meningkat sejajar dengan perkembangan ekonomi dan kepadatan penduduk, sekali gus menyaksikan permintaan kehendak maksima terkini mencapai 4,720 megawatt.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.