Oleh Muhammad Rey Hazriell
SHAH ALAM, 14 JUN: Bekas pegawai Angkatan Tentera Malaysia, Kapten Affendi Yahya, 65, menggunakan kartun sebagai medium menyebar patriotisme dan sejarah perjuangan pasukan keselamatan negara itu.
Beliau kini aktif sebagai pelukis kartun telah menghasilkan dua buku berkaitan pengalaman dalam dunia ketenteraan, 'The Gunturions' dan 'The Memories of A Cadet Officer', manakala karya ketiga dijangka diterbitkan tahun ini.
Affendi berkata kisah sebenar kehidupan anggota tentera termasuk perjuangan yang dilalui masyarakat pelbagai kaum demi negara akan terus diangkat untuk tatapan generasi muda.
“Ramai anak muda tidak tahu sejarah tentera negara, jadi saya kongsi pengalaman sendiri daripada sudut pahit, manis dan lucu dalam bentuk lukisan kartun,” katanya kepada Media Selangor.
Affendi menjelaskan bahawa buku-bukunya turut menyentuh aspek perpaduan kaum kerana ketenteraan adalah cerminan kerjasama antara bangsa.
Katanya, perjuangan yang dilalui oleh masyarakat pelbagai kaum demi negara adalah sesuatu yang wajar difahami oleh generasi baharu.
Menurutnya, walaupun minat membaca semakin menurun, rakyat kini lebih tertarik kepada visual dan ilustrasi.
“Kalau saya tulis biasa orang tak baca, tapi bila dalam bentuk kartun, orang tengok, orang ingat,” katanya lagi.
Beliau berharap buku ketiganya kelak dapat menyampaikan mesej jelas tentang semangat patriotisme dan menjadi senjata perpaduan generasi akan datang.
Affendi menyeru masyarakat supaya lebih menghargai pengorbanan tentera dan menjadikan sejarah sebagai panduan hidup bersatu.
[caption id="attachment_705964" align="aligncenter" width="700"]
Kapten Affendi Yahya (bersara) memberi penerangan kepada pengunjung cilik mengenai buku kartun tentera karya beliau bertajuk The Gunturions ketika Festival Kartun Perpaduan Selangor di Pustana Raja Tun Uda pada 6 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]


