GAZA/TEL AVIV, 17 JUN: Tentera Israel sekali lagi dilaporkan membunuh orang awam yang sedang menunggu berhampiran pusat agihan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik pihak berkuasa Hamas.
Pihak berkuasa kesihatan yang dikendalikan Hamas memaklumkan sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera di selatan wilayah itu, namun tiada butiran lanjut diberikan.
Menurut saksi, sebahagian mangsa sedang berjalan kaki manakala yang lain menaiki kenderaan dalam perjalanan menuju ke pusat agihan apabila tentera Israel membedil mereka di kawasan antara bandar Rafah dan Khan Younis.
Maklumat itu tidak dapat disahkan secara bebas. Tentera Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan berkenaan.
Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS), memulakan misinya di Semenanjung Gaza bulan lepas susulan sekatan bantuan oleh Israel selama hampir tiga bulan.
Beberapa kejadian sebelum ini turut menyaksikan kematian orang awam berhampiran pusat agihan.
Israel sebelum ini menyatakan bahawa mereka melepaskan tembakan ke arah individu yang tidak mengikut laluan ditetapkan. GHF pula memaklumkan bahawa kematian yang berlaku sebelum ini berada di luar zon keselamatan mereka.
- BERNAMA-dpa


