Oleh AIDA NYAN
KUALA LUMPUR, 17 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meraih masing-masing satu anugerah emas dan gangsa sempena Anugerah Hashtag Asia 2025 di Singapura pada 13 Jun.
Anugerah tahunan itu mengiktiraf kecemerlangan organisasi seluruh Asia dalam media sosial.
Air Selangor meraih emas bagi kategori 'Pengurusan Krisis Media Sosial Terbaik' menerusi kempen Pelan Tindakan Kecemasan (ERP). Gangsa pula untuk Analitik dan Cerapan Media Sosial Terbaik melalui kempen Video Perayaan Air Selangor 2024 – Sayang.
Kempen ERP yang dimenangi syarikat itu buat kali kedua berturut-turut mengukuhkan kedudukan Air Selangor sebagai organisasi yang cemerlang dalam pengurusan krisis melalui media sosial.
Sementara Kempen Video Perayaan 2024 - Sayang mencerminkan usaha berterusan Air Selangor dalam mengangkat komunikasi yang berkesan dan bermakna kepada rakyat.
Kempen itu mengetengahkan semangat perpaduan dan penghargaan kepelbagaian budaya Malaysia melalui siri video kreatif sempena Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Hari Kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali berkata pihaknya berbesar hati menerima anugerah tersebut, yang membuktikan keupayaan mereka menyampaikan maklumat secara telus.
"Air Selangor juga mengemas kini maklumat terkini melalui platform media sosial kami, memastikan pengguna kami kekal maklum," katanya dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata pengiktirafan itu bukti iltizam agensi berkenaan menyampaikan nilai dan mesej bermakna kepada masyarakat.
"Kami komited untuk terus memperkukuh strategi komunikasi Air Selangor untuk kekal relevan serta memberi impak positif kepada pengguna," katanya.
Diadili 30 profesional pemasaran kanan, anugerah itu disertai pelbagai jenama terkemuka seperti Toyota, Samsung, AIA, Media Prima Audio, Tokopedia, Unifi, Singtel, Cathay, Watsons dan Lazada.