HULU SELANGOR, 14 JUN: Di sebalik deretan botol rempah yang tersusun rapi di sebuah premis perniagaan di Bukit Sentosa, tersimpan kisah seorang wanita tabah yang menjadikan dapur rumah sebagai titik mula perubahan besar dalam hidupnya.
G. Thilagavathy, pemilik perniagaan Thila Top Spices tidak pernah menyangka perniagaan kecil-kecilan yang dimulakan di depan rumah lebih sedekad lalu kini mampu menjana pendapatan sehingga RM150,000 sebulan.
“Dulu saya hanya letak rak dan baldi kecil di depan rumah. Masa itu modal tiada, saya pinjam dengan pembekal. Anak-anak masih kecil, saya masak, jaga mereka, sambil layan pelanggan. Tapi saya tetap teruskan sebab mahu bantu kewangan keluarga,” ujarnya mengenang permulaan usahanya sekitar 2007.
[caption id="attachment_705153" align="aligncenter" width="688"] G.Thilagavthy, 44 bersama suaminya R.Anbalegan sedang melayani pelanggan ketika tinjauan Media Selangor di Thila Top Spices, Bukit Sentosa, Rawang pada 5 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bersama suami, beliau berusaha mencari peluang memperluas perniagaan. Namun kekangan kewangan dan kos sewaan kedai yang tinggi menjadi halangan.
“Saya cuba juga pinjam dengan bank, walau kadar faedah tinggi. Alhamdulillah, dapat buka gerai kecil di pasar pagi Bukit Sentosa. Di situ saya mula rasa yakin, bila ramai pelanggan mula kenal produk saya,” katanya.
Namun titik perubahan sebenar hadir apabila seorang rakan memperkenalkannya kepada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor). Pinjaman awal sebanyak RM3,000 menjadi permulaan sokongan yang lebih besar.
“Daripada RM3,000, saya dapat tambah jadi RM5,000, kemudian RM20,000 dan akhirnya RM50,000. Dengan pinjaman itulah saya buka kedai kedua pada tahun 2022. Hijrah Selangor bukan hanya beri pinjaman, tapi juga pantau dan beri bimbingan,” katanya penuh syukur.
[caption id="attachment_705151" align="aligncenter" width="705"] G.Thilagavthy, 44 sedang menyediakan pesanan rempah kari pelanggan ketika tinjauan Media Selangor di Thila Top Spices, Bukit Sentosa, Rawang pada 5 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Kini, Thilagavathy mengendalikan tiga cawangan termasuk di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung serta membekalkan rempah kepada restoran termasuk rangkaian francais makanan.
“Saya sediakan lebih 100 jenis rempah, dari serbuk kari, kunyit, cili, sehinggalah rempah briyani, nasi arab dan herba barat. Perniagaan ini bukan lagi sekadar jualan runcit, kami juga menjadi pembekal,” jelasnya.
Dari pendapatan RM1,500 sebulan semasa berniaga di rumah, beliau kini meraih sehingga RM150,000 sebulan dengan lima orang pekerja tetap.
[caption id="attachment_705152" align="aligncenter" width="709"] A.Loga Tharshini Thila,21 sedang menyediakan pesanan rempah kari dan kacang pelanggan di Thila Top Spices, Bukit Sentosa, Rawang pada 5 Jun 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sebagai penerima Anugerah Usahawan India dan Anugerah Success Story sempena Hijrahpreneur Award 2024, kejayaan Thilagavathy bukan hanya membanggakan keluarga, malah menjadi inspirasi ramai wanita lain yang ingin mengubah hidup.
“Hijrah Selangor banyak bantu. Saya cuma ada semangat dan minat berniaga. Tapi dengan sokongan dan bimbingan, langkah kecil di depan rumah boleh jadi permulaan impian besar,” katanya tersenyum.
Hijrah Selangor menawarkan bantuan modal khusus kepada golongan wanita di negeri ini yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan.
Bantuan modal di bawah skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000.
Pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.