ad
AGENDA

Pesara guru rugi lebih RM200,000 diperdaya sindiket panggilan telefon

14 Jun 2025, 8:42 PM
Pesara guru rugi lebih RM200,000 diperdaya sindiket panggilan telefon

KUANTAN, 14 JUN: Seorang pesara guru kerugian RM216,067 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa wanita berusia 61 tahun itu menerima panggilan daripada individu itu dan memaklumkan terdapat tuntutan palsu insurans berjumlah RM68,000 atas namanya.

Beliau berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya serta mendakwa wanita itu terlibat dalam tuntutan palsu dan aktiviti pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudian diarahkan membuka beberapa akaun bank serta memindahkan semua wang simpanan, ganjaran pencen dan pinjaman bank ke dalam akaun tertentu kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa melakukan 24 transaksi pemindahan wang ke enam akaun berbeza antara 20 Februari hingga 5 Mei lalu.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik jika menerima panggilan telefon yang meragukan dan jangan sesekali mendedahkan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.