AGENDA

Tengku Shamsulbahri dilantik penaung Humanology Sdn Bhd

14 Jun 2025, 6:34 PM
Tengku Shamsulbahri dilantik penaung Humanology Sdn Bhd

KLANG, 14 JUN: Tengku Shamsulbahri Al Haj Tengku Azman dilantik sebagai Penaung Humanology Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan konsultasi dan perkhidmatan terkemuka sektor awam.

Tengku Shamsulbahri menerima watikah pelantikan daripada pengasas Humanology Tan Sri Ambrin Buang dalam sebuah majlis yang diadakan di Kelab Diraja Klang di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Berjaya Sdn Bhd berkata pelantikan bukan sahaja sebuah pengiktirafan malah mencerminkan kepercayaan besar Tengku Shamsulbahri terhadap pihaknya dalam usaha mengangkat sektor halal di Selangor ke tahap lebih tinggi.

“Menyedari keperluan dan kepercayaan yang diberikan kepada syarikat, sudah tentu ini merupakan satu amanah besar yang harus dipikul.

“Pihak kami akan memastikan setiap inisiatif yang dijalankan membawa syarikat berdaya saing yang mencerminkan pendekatan inklusif serta pematuhan syariah ketat untuk memberi manfaat kepada rakyat Selangor,” kata Dato’ Munir Mohd Nawi dalam ucapan.

Munir menambah pihaknya komited menjadikan Selangor sebagai rujukan utama dalam tadbir urus halal hingga ke peringkat antarabangsa.

“Tumpuan utama kami pada masa kini adalah membangunkan pensijilan serta pemerkasaan rantaian nilai halal secara sistematik berlandaskan syariah, digitalisasi dan inovasi.

“Untuk mencapai matlamat ini kami akan memperkukuh jaringan strategik bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi membangunkan industri halal,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Tengku Shamsulbahri turut merasmikan pra-pelancaran buku “Auditing the 1MDB” yang ditulis oleh Ambrin Buang.

Buku tersebut memberikan gambaran kepada pembaca pengalaman serta cabaran yang ditempuhi Ambrin Buang di sebalik skandal membabitkan syarikat pelaburan milik kerajaan itu ketika menjawat jawatan ketua audit negara.