Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 12 JUN: Tindakan pemandu lori tipper yang memasuki lorong arah bertentangan dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, bulan lalu.
Laporan Awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan itu mendedahkan, lori tipper berkenaan memasuki laluan bertentangan iaitu laluan yang sedang dilalui konvoi FRU sebelum bertembung dengan trak FRU terbabit.
Kata laporan itu, ia dibuktikan dengan kesan brek, tayar dan geseran yang dikenal pasti di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, menurut laporan awal nahas itu yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan hari ini, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sebab sebenar pemandu lori berkenaan memasuki laluan bertentangan.
Selain itu, tiada bukti yang menunjukkan sebarang kegagalan mekanikal menyumbang secara langsung kepada kemalangan itu.
“Secara keseluruhan, berdasarkan pemeriksaan teknikal, semua sistem mekanikal utama lori seperti brek, tayar, stereng dan suspensi didapati berada dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan,” menurut laporan itu.








