AGENDA

Konsep Malaysia Madani kunci bina negara bangsa, perlu dukungan semua

11 Jun 2025, 10:00 PM
Konsep Malaysia Madani kunci bina negara bangsa, perlu dukungan semua

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Konsep Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kunci bagi membina negara bangsa yang memerlukan usaha semua pihak.

Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Dato’ Dr Roslan Hussin berkata perpaduan merupakan asas penting menyatukan rakyat namun memerlukan dukungan warganegara yang mempunyai 'karamah insaniah' ke arah pembinaan tamadun.

“Apa yang berlaku di Palestin menjadi ibrah untuk membina negara bangsa dengan hasilkan Malaysia yang martabatnya diangkat dan membawa kegemilangan.

“Inilah asas kepada pembinaan Malaysia Madani yang berpandukan tiga perspektif iaitu pembinaan Madani Kota Raya Nabi, pembinaan Madani Ilmu Ketamadunan al-Farabi dan pembinaan Madani pembangunan negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi syarahan bertajuk Mencari Makna Kemanusiaan anjuran bersama Universiti Selangor dan Institut Darul Ehsan di Universiti Malaya di sini, hari ini.

Roslan menjelaskan perspektif pertama menyentuh nilai asas perpaduan menjadi keupayaan untuk kelangsungan kehidupan negara dengan mengambil contoh model Nabi Muhammad SAW menyelesaikan konflik kaum antara Aus dan Khazraj untuk mengangkat Madinah sebagai kota raya Islam.

“Kedua, membangunkan masyarakat dengan ilmu, menggunakan teknologi sedia ada rentasi pelbagai bidang seperti ekonomi serta Pendidikan.

“Ketiga, agihan ekonomi secara sama rata, usaha benteras miskin tegar giat dibuat sejak perdana menteri dilantik. Ibrah di Timur Tengah jadi pengajaran, kelompok mempunyai kekayaan yang luar biasa namun golongan miskin makin terlarat. Jika kesenjangan ekonomi tidak dibaiki, gelombang Arab Spring kedua boleh tercetus,” ujarnya lagi.