ad
AGENDA

Keluarga pelajar terkorban dapat RM10,000, mangsa cedera RM5,000

11 Jun 2025, 6:46 PM
Keluarga pelajar terkorban dapat RM10,000, mangsa cedera RM5,000

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Kerajaan MADANI akan menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga setiap 15 mangsa yang terkorban dalam nahas bas persiaran melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata kerajaan turut akan memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada setiap mangsa yang cedera dalam tragedi berkenaan.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

“Perdana Menteri juga mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti aspek perundangan berkaitan insurans bagi mangsa yang terlibat.

“Jemaah Menteri juga menzahirkan ucapan takziah kepada semua waris mangsa yang terkorban dalam kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Angkasapuri hari ini yang turut disertai Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.