ad
PBT

MPAJ anjur lelongan awam esok, inisiatif kurangkan tunggakan cukai pemilik harta

11 Jun 2025, 11:51 AM
MPAJ anjur lelongan awam esok, inisiatif kurangkan tunggakan cukai pemilik harta
MPAJ anjur lelongan awam esok, inisiatif kurangkan tunggakan cukai pemilik harta

SHAH ALAM, 11 JUN: Sebanyak 50 unit barangan bernilai lebih RM7,000 akan dilelong menerusi program Lelongan Awam anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) esok.

MPAJ menerusi kenyataan memaklumkan antara yang dilelong termasuklah barangan elektrik dan kelengkapan rumah, hasil sitaan operasi sita cukai taksiran yang dijalankan sebelum ini.

“Lelongan Awam dilaksanakan sebagai salah satu usaha MPAJ untuk membantu mengurangkan jumlah tunggakan cukai taksiran pemilik harta di kawasan pentadbiran MPAJ.

“Antara barangan yang akan dilelong ialah ketuhar gelombang mikro (microwave) pelbagai jenama, mesin jahit, televisyen 32 inci, kipas elektrik, set sofa dan juga set golf,” menurut kenyataan itu.

Menurut MPAJ, jumlah kutipan daripada lelongan tersebut akan digunakan untuk mengurangkan tunggakan cukai pemilik barangan yang dilelong.

Program lelongan awam akan diadakan bermula jam 2 petang di Galeri Aras 4, Menara MPAJ.