ad
AGENDA

Jolok mangga guna besi, lelaki maut terkena renjatan elektrik

8 Jun 2025, 9:12 PM
Jolok mangga guna besi, lelaki maut terkena renjatan elektrik

PAPAR, 8 JUN: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menjolok buah mangga menggunakan sebatang besi di Kampung Bambangan di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada pukul 3.01 petang sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah memanjat pokok mangga dan menggunakan sebatang besi untuk menjolok buah. Malangnya, besi tersebut terkena pada kabel elektrik berhampiran menyebabkan mangsa terkena renjatan dan tidak sedarkan diri di atas pokok,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Beliau berkata operasi menyelamat dijalankan selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan anggota bomba menggunakan tangga serta tali penyelamat untuk menurunkan mangsa.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang melibatkan lapan anggota dari BBP Papar itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.29 petang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.