ad
AGENSI

Jualan Ehsan Rahmah PKPS berehat sempena Aidiladha, kembali 9 Jun

6 Jun 2025, 9:00 AM
Jualan Ehsan Rahmah PKPS berehat sempena Aidiladha, kembali 9 Jun
Jualan Ehsan Rahmah PKPS berehat sempena Aidiladha, kembali 9 Jun

SHAH ALAM, 6 JUN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) akan berehat selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Jun sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi Facebook memaklumkan operasi jualan barangan keperluan asas pada harga rendah itu akan disambung semula pada Isnin, 9 Jun.

Orang ramai disaran menyemak jadual lokasi jualan harian melalui pautan linktr.ee/myPKPS atau mengimbas kod QR yang disediakan.

Program JER di bawah kelolaan PKPS dan Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai barangan asas seperti ayam, telur, beras dan minyak masak pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER. Pentadbiran negeri turut menyasarkan pembukaan 10 premis Ehsan Mart menjelang akhir tahun ini. Cawangan pasar raya tersebut telah beroperasi di Sungai Tua, Pandan Indah dan bakal dibuka di Hulu Kelang.

Pasar raya kendalian PKPS itu menawarkan barangan asas pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran. Ehsan Mart yang diwujudkan sebagai penambahbaikan program JER turut menyasarkan pembukaan di 56 kawasan DUN menjelang 2027.

Selain itu, PKPS dengan kerjasama Segi Fresh menyasarkan pembukaan 10 cawangan Pasaraya Ehsan Segi Fresh. Pasar raya pertama telah dibuka di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.