GOMBAK, 4 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus menjadi pilihan ramai untuk mendapatkan barangan dapur menjelang Aidiladha, Sabtu ini.
Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, K Needi, 63, berkata program berkenaan membantunya berjimat sehingga 20 peratus berbanding membeli barangan di pasar raya.
[caption id="attachment_704322" align="alignleft" width="345"]
K Needi[/caption]
“Saya dapat membeli ayam, telur, beras, minyak masak dan ikan untuk stok selama dua minggu bagi menampung dua orang isi rumah.
“Produk yang ditawarkan juga berkualiti berkualiti, mudahkan warga emas seperti saya mendapatkan bekalan barangan asas pada harga murah,” katanya yang menetap di Kampung Laksamana.
Beliau antara ratusan pengunjung yang ditemui pada program JER mega Aidiladha peringkat DUN terbabit di sini, hari ini. Jualan berkenaan dihadiri lebih 300 penduduk yang menunggu seawal 7 pagi.
[caption id="attachment_704323" align="alignright" width="345"]
Missmah Abu Amin[/caption]
Seorang lagi warga emas, Missmah Abu Amin, 64, berkata JER menjimatkan perbelanjaan membeli barangan asas dalam tempoh seminggu sebagai persiapan menyambut Aidiladha.
“Saya dapat membeli ayam dan beras hanya berbelanja RM61 sahaja. Ia banyak membantu untuk masak juadah pada hari raya Sabtu ini,” kongsi penduduk Kampung Sri Gombak itu.
[caption id="attachment_704324" align="alignleft" width="347"]
Suliza Mohamad[/caption]
Bagi Suliza Mohamad, 54, beliau dapat membeli barangan asas lebih banyak banding di luar dengan berbelanja hingga RM200 memandangkan JER menawarkan harga lebih murah.
Inisiatif jualan murah untuk meringankan beban menyambut perayaan menawarkan ayam seekor (RM12), daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM13).
Turut dijual produk baharu iaitu tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


