ad
BERITA UTAMA

Selangor–Volta teroka kerjasama rancakkan perdagangan, pacu ekonomi serantau

3 Jun 2025, 3:30 PM
Selangor–Volta teroka kerjasama rancakkan perdagangan, pacu ekonomi serantau
Selangor–Volta teroka kerjasama rancakkan perdagangan, pacu ekonomi serantau

SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor dan Wilayah Volta, Ghana tekad meneroka kerjasama strategik melibatkan pembangunan pelabuhan, pertanian, serta sektor digital bagi merancakkan perdagangan serantau dan pertumbuhan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan bersama Menteri Wilayah Volta James Gunu hari ini memberi fokus kepada perkongsian ilmu berkaitan projek pelabuhan komersial yang sedang dibangunkan di kedua-dua wilayah.

[caption id="attachment_704162" align="aligncenter" width="814"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika menerima kunjungan Menteri Wilayah Volta, Ghana, James Gunu bagi meneroka kerjasama pelabuhan dan perdagangan serantau di Shah Alam pada 3 Jun 2025. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]

“Kami meneroka peluang untuk pemindahan ilmu, terutama ketika Wilayah Volta sedang membangunkan Pelabuhan Keta, pelabuhan komersial ketiga Ghana.

“Sama seperti Selangor yang sedang membangunkan projek pelabuhan Pulau Carey. Kedua-duanya bakal memacu perdagangan serantau dan pertumbuhan ekonomi,” katanya di Facebook hari ini.

Selain logistik, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam sektor pertanian dan akuakultur yang berasaskan iklim tropika yang sama, sekali gus menyokong agenda keselamatan makanan dan kelestarian.

Menurut Amirudin, delegasi turut membentangkan inisiatif utama negeri termasuk pembangunan taman perniagaan dinamik, pelancaran pusat data Google Cloud dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

“Turut dikongsi mengenai kempen Tahun Melawat Selangor 2025 serta strategi jangka panjang Selangor di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

“Kami turut mendengar pembentangan penuh input daripada Invest Selangor dan Tourism Selangor, selain menerima maklumat bernilai daripada Volta mengenai inisiatif kenaf mereka,” katanya.

Tambahnya, Selangor sentiasa mengalu-alukan jalinan kerjasama rentas negara bagi mengukuhkan daya saing ekonomi, membuka peluang perniagaan dan mencipta kemakmuran berkekalan untuk rakyat dan rantau ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.