ad
AGENSI

Selangor peruntuk RM11 juta laksana tuisyen percuma, manfaat 160,000 pelajar

1 Jun 2025, 3:18 PM
Selangor peruntuk RM11 juta laksana tuisyen percuma, manfaat 160,000 pelajar

SHAH ALAM, 1 JUN: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM11 juta bagi melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 160,000 pelajar.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata tuisyen  secara percuma bermula bulan ini memfokus kepada pelajar tingkatan empat dan lima yang berprestasi sederhana atau lemah.

"Program ini juga akan memanfaatkan kelas pemulihan di sekolah rendah yang terlibat program didik kasih," kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Media Selangor baru-baru ini.

Pada 24 April, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PTRS dikenal pasti antara penyumbang utama peningkatan bilangan pelajar di Selangor yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

PTRS bagi pelajar tingkatan empat dan lima adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.

Program tersebut menyasarkan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.

PTRS peringkat sekolah rendah memfokuskan murid kelas pemulihan untuk menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.