ad
AGENDA

PM puji Selangor paling banyak terbit karya berilmu, pupuk minat membaca

1 Jun 2025, 1:15 PM
PM puji Selangor paling banyak terbit karya berilmu, pupuk minat membaca

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Selangor yang banyak menerbitkan karya berilmu untuk bacaan masyarakat.

Beliau berkata, penerbitan buku itu seiring dengan budaya Madani yang mencintai ilmu sekali gus dapat memupuk minat membaca khususnya kalangan anak muda.

“Kecintaan pada ilmu dapat membentuk sahsiah dan keperibadian yang baik. Saya nak ucapkan terima kasih bukan sahaja kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan tetapi Amirudin (Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari).

“Selangor merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang paling banyak menerbitkan karya berilmu. Cuma harap selepas ini dapat hantar kepada saya sebelum penganjuran pesta buku,” ucapnya.

Beliau berucap pada majlis perasmian penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Selain Amirudin, turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Anwar dalam ucapannya turut mengumumkan pemberian baucar buku yang sebelum ini diagihkan kepada pelajar akan diperluas kepada 400,000 guru tahun ini.

“Kita jaga sekolah dan guru… jadi tahun ini semua guru akan terima baucar buku namun tahun depan kita lihat keadaan. Untuk universiti kita serahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Harap dengan bantuan baucar buku ini guru dapat jalankan tanggungjawab dan galakkan anak-anak membaca,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.