GOMBAK, 31 MEI: Seramai 30,000 individu disasar menyertai program Selangor Saring di 56 dewan undangan negeri (DUN) pada tahun ini.
EXCO kesihatan awam berkata pihaknya optimis bilangan itu mampu dicapai berdasarkan sambutan orang ramai sejak program saringan kesihatan percuma dianjurkan di beberapa lokasi mulai 1 Mei lepas.
“Mengikut tahun lalu, anggaran 600 hingga 700 peserta hadir setiap DUN selepas mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).
“Sambutan berbeza di setiap kawasan mengikut populasi namun warga Selangor semakin mengenali program saringan ini dengan mengambil peluang hadir membuat pemeriksaan secara percuma,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, Jamaliah menyempurnakan perasmian Program Kesihatan Warga Emas 2025 di Dewan Beringin di sini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_703654" align="aligncenter" width="700"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin melakukan saringan kesihatan menggunakan alat dynamometer ketika program kesihatan warga emas negeri Selangor di Dewan Beringin, Gombak pada 31 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau menambah seluruh program dan dasar kesihatan awam negeri akan diselaraskan selepas ini bagi memastikan penyampaian akses perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Jika terlalu banyak program kesihatan yang dianjurkan mengikut tempoh dan lokasi berbeza, kita khuatir penerima yang layak akan tercicir,” jelasnya.
Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma yang diperkenal sejak 2022.
Inisiatif Selangor Saring yang menyediakan ujian kesihatan antaranya jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, barah, mata, telinga dan gigi.
Program tersebut antara usaha membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.
[caption id="attachment_703656" align="aligncenter" width="700"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin melakukan aktiviti bersama peserta ketika program kesihatan warga emas negeri Selangor di Dewan Beringin, Gombak pada 31 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_703658" align="aligncenter" width="700"] Peserta menunggu giliran untuk saringan kesihatan ketika program kesihatan warga emas negeri Selangor di Dewan Beringin, Gombak pada 31 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]