SHAH ALAM, 31 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memaklumkan belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti itu setakat ini.
Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh berkata semua permohonan keanggotaan KEADILAN dilakukan secara atas talian dan akan diproses mengikut prosedur biasa sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk pertimbangan.
“Setiap permohonan akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan catatan Tengku Zafrul di media sosial yang membayangkan hasrat menyertai KEADILAN selepas mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno semalam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor khususnya aspek keserasian dan kesesuaian.
Dalam pada itu, Dr Fuziah turut memaklumkan bahawa Tengku Zafrul akan menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat dan mendoakan agar beliau selamat pergi dan kembali serta memperoleh haji yang mabrur.