ad
PBT

Dicemari najis tikus dan katak, MPHS tutup tujuh premis makanan

30 Mei 2025, 7:38 PM
Dicemari najis tikus dan katak, MPHS tutup tujuh premis makanan
Dicemari najis tikus dan katak, MPHS tutup tujuh premis makanan

Oleh Dewi Abdul Rahman

HULU SELANGOR, 30 MEI: Tujuh premis makanan di Batang Kali diarah tutup serta-merta susulan penemuan hurungan lipas, najis tikus dan katak ketika operasi Ops Suci, Rabu lalu.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan pihaknya turut mengesan beberapa pelanggaran serius piawai kebersihan premis seperti telur tidak dibasuh sempurna dan ruang penyimpanan tidak teratur serta kotor.

"Selain itu, pengendali makanan tiada Sijil Latihan Pengendali Makanan dan suntikan anti tifoid, berkuku panjang, memakai barang kemas selain tidak memakai apron, kasut dan penutup kepala," katanya di Facebook.

[caption id="attachment_703536" align="alignnone" width="760"] Keadaan premis makanan yang dikesan melakukan beberapa pelanggaran serius piawai kebersihan premis ketika Ops Suci kendalian bahagian Inspektorat Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 28 Mei 2025. Foto Facebook MPHS[/caption]

MPHS juga mendapati premis terbabit melepaskan sisa efluen terus ke dalam longkang awam serta tidak menyelenggara perangkap minyak dan sistem pelepasan asap seperti diarahkan.

"Kompaun dikeluarkan merangkumi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan 2007, termasuk dua notis UUK 26 bagi kelengkapan pemadam kebakaran yang tamat tempoh, tujuh notis UUK 19(1)(d) kerana membuang sisa cecair ke longkang awam.

"Turut dikenakan, sembilan notis UUK 15 kerana gagal menjaga kebersihan premis, dan lima notis UUK 34 kerana tidak mengambil langkah pencegahan serangga selain tujuh lagi kompaun di bawah UUK Pengendali Makanan 2007," katanya.

MPHS berharap tindakan tegas itu menjadi peringatan keras kepada pemilik dan pengendali premis makanan agar sentiasa mematuhi piawaian kebersihan serta keselamatan makanan bagi melindungi kesihatan awam.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.