ad
PBT

MBDK laksana pelbagai inisiatif, jaga kebersihan Sungai Klang

29 Mei 2025, 4:37 PM
MBDK laksana pelbagai inisiatif, jaga kebersihan Sungai Klang
MBDK laksana pelbagai inisiatif, jaga kebersihan Sungai Klang

SHAH ALAM, 29 MEI: Penggunaan bebola lumpur (mudball) mengandungi mikroorganisma efektif (EM) yang dilepaskan ke dalam sungai mampu menguraikan bahan pencemar dan mengurangkan bau tidak menyenangkan dalam air.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata itu antara inisiatif dilaksana Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Sungai Klang bagi memelihara kebersihan persekitaran kawasan berkenaan.

Jelasnya, MBDK melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memelihara kebersihan persekitaran Sungai Klang, termasuk bekerjasama dengan pusat pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan serta komuniti setempat melaksanakan program pembersihan Sungai Klang.

“Pada 3 Mei, program pembersihan Sungai Klang River Ranger 2.0 dilaksana dengan kerjasama Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan komuniti Sungai Udang di Pengkalan Nelayan, Kampung Sungai Udang, Klang.

[caption id="attachment_699498" align="alignleft" width="500"] Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain ketika ditemui dalam program River Ranger 2.0: River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Dalam program ini, MBDK turut menggunakan ‘mudball’ mengandungi EM yang dibaling ke dalam sungai untuk menguraikan bahan pencemar serta mengurangkan bau yang tidak menyenangkan dalam air,” katanya dalam perutusan Datuk Bandar pada Mesyuarat Penuh MBDK Bilangan 5/2025 hari ini.

Selain itu, katanya inisiatif lain termasuk program pembersihan sungai di Royal Selangor Yatch Club akan diadakan Ahad ini dan Mini Konvensyen Cintai Sungai Klang pada 5 Jun.

“Ia rentetan dukacita dizahirkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) berhubung keadaan kawasan ini yang kotor dan dipenuhi sampah, khususnya sekitar muara Sungai Klang.

“Oleh itu, dijemput semua ahli majlis, ketua jabatan, agensi daerah Klang, komuniti setempat untuk bersama-sama menjayakan program ini,” katanya.

Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek SMG kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.

Bagi pemulihan dan pembersihan Sungai Klang, terdapat dua mesin perangkap sampah iaitu Interceptor 002 dan 005 masing-masing beroperasi pada Ogos 2019 dan 2022.

Jentera Interceptor merupakan mesin inovasi ciptaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Belanda, Ocean Clean Up bagi proses pembersihan Sungai Klang yang lebih efektif.

Julai tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kutipan sampah di Sungai Klang menurun 67 peratus dan hanya mengumpul 5,600 tan metrik sampah sahaja.

Jelas Amirudin projek bawah Gerbang Maritim Selangor (SMG) itu berjaya mengeluarkan 88,000 tan metrik sampah dari Sungai Klang sejak 2019 hingga Ogos tahun lalu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.