KLANG, 26 SEPT: Kadar jangkitan denggi di daerah Klang terus menunjukkan penurunan konsisten sepanjang lima hingga enam minggu terakhir termasuk bagi minggu epidemiologi (ME) ke-39/2025.
Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Effendi Mohd Arif berkata meskipun penurunan direkodkan, Klang masih berada di kedudukan keempat tertinggi bagi bandar utama di seluruh negara selepas Petaling, Hulu Langat dan Gombak.
“Penyumbang utama kepada penularan denggi di kawasan ini adalah dalam kalangan warga tempatan sendiri yang cenderung menyimpan barang-barang lama yang dianggap mempunyai nilai sentimental di kawasan kediaman mereka.
“Tindakan ini secara tidak langsung menjadi tempat takungan air serta pembiakan nyamuk aedes sekali gus memberi cabaran kepada kita,” katanya kepada pemberita pada Hari Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Dewan Hamzah, di sini, semalam.
Menurut Mohd Zary Effendi, trend penurunan tersebut turut menyumbang kepada pengurangan kawasan hotspot, dengan hanya dua lokasi kini mencatatkan 10 wabak aktif berbanding sehingga 40 wabak pada tempoh sebelumnya.
Bagi membendung penularan penyakit itu, Mohd Zary Effendi memaklumkan MBDK kini giat melaksanakan pelbagai aktiviti pembersihan awam termasuk operasi gotong-royong, penyemburan kabus (fogging) serta kempen pendidikan dan kesedaran awam.
Sehingga Mei lalu, kadar jangkitan Denggi di Klang dilapor menunjukkan penurunan berbanding minggu-minggu sebelumnya dengan 11,970 kes kumulatif di seluruh Selangor sehingga ME 23/2025 sementara 48 wabak denggi dilaporkan di Klang pada April lepas.