AGENDA

MB: Negeri tunggu laporan insiden guru marah murid di kantin

27 Mei 2025, 4:38 AM
MB: Negeri tunggu laporan insiden guru marah murid di kantin
MB: Negeri tunggu laporan insiden guru marah murid di kantin

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan Negeri sedang menunggu laporan berkaitan insiden guru yang didakwa memalukan seorang murid sekolah rendah di hadapan rakannya, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini, Jabatan Pendidikan negeri sedang menyiasat perkara itu secara terperinci sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Jabatan Pendidikan sedang lihat perkara ini dan kita tunggu laporan berkaitan. Kita hendak tahu punca kejadian dan tahap kemarahan (cikgu terbabit).

"Kita tidak boleh hukum guru itu terus sebab kadang-kadang mereka tertekan dengan persekitaran yang mencabar...kena saling memahami," katanya selepas merasmikan sambutan hari guru Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.

Kelmarin, tular di media sosial menunjukkan seorang murid menangis ketika memberi penjelasan kepada guru yang memarahinya di kantin sekolah dan kejadian itu dipercayai berlaku 14 April lalu.

Video itu dirakam dan kemudian diberikan kepada ibu murid tersebut.

Susulan kejadian, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan pihaknya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan menyiasat insiden berkenaan.

Jelasnya, beliau kesal dengan perkara itu lebih-lebih lagi rakaman tersebut sudah tersebar dan memberi dampak besar kepada masyarakat.

[caption id="attachment_702986" align="aligncenter" width="1141"] Barisan guru yang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 27 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]