PUTRAJAYA, 27 MEI: Kerajaan yang berpaksikan nilai kerohanian dan mengamalkan pendekatan pembangunan ekonomi strategik berupaya merangka dasar membangunkan rakyat secara holistik.
Penceramah antarabangsa, Nouman Ali Khan menegaskan, penyatuan antara nilai kerohanian dan dasar pembangunan ekonomi bukan sahaja membentuk ekosistem masyarakat seimbang, malah menjadi asas kukuh kemajuan, daya tahan serta kestabilan jangka panjang sesebuah negeri atau negara.
“Aspek kerohanian tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti ekonomi. Allah menyebut dalam Al-Quran, menggalakkan kemerdekaan ekonomi dalam kalangan hambanya. Kerohanian, produktiviti ekonomi boleh dan seharusnya berjalan seiring.
“Penciptaan pekerjaan adalah amat penting. Kita perlu membina sistem dan inovasi yang menyokong pertumbuhan keusahawanan dengan prinsip utamanya untuk terus maju bukan kekal pada tahap sama.
“Sesebuah kerajaan harus menyasarkan penciptaan peluang pekerjaan yang lebih baik, ekonomi lebih mampan serta peningkatan kemahiran secara berterusan yang menjadi asas kepada persekitaran ekonomi yang kompetitif dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian eksklusif bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Nouman Ali Khan bertajuk Refleksi terhadap Ekonomi Global: Perspektif al-Quran di sini, malam tadi.
Sementara itu Amirudin ketika berucap pada sesi berkenaan berkata kerohanian antara aspek penting perlu diberi perhatian dalam pembangunan sesebuah negeri atau negara mengambil kira cabaran masa kini termasuk berdepan pembentukan generasi keresahan yang mengancam pembangunan emosi dan mental individu.
“Dari sudut ekonomi, kita juga menyaksikan kesenjangan. Dunia kini didorong oleh spekulasi berbanding nilai sebenar, keuntungan mengatasi manusia yang akhirnya membawa kepada ketidaksamaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, namun al-Quran menawarkan jalannya,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Selangor masih di peringkat perbincangan berhubung cadangan negeri ini menerajui program #QuranHour yang dilihat bakal memberikan paradigma lebih luas terhadap pemahaman al-Quran.
“Kita sedang bincang dan tunggu kertas kerja. Kita sedia bekerjasama dengan pihak Sinar yang mana ini memberikan satu paradigma lebih luas terhadap pemahaman al-Quran dan kefahaman tentang wilayah dan bangsa yang mungkin kadangkala dipandang secara sempit oleh sesetengah pihak,” katanya.
[caption id="attachment_702956" align="aligncenter" width="1054"]
Penceramah Nouman Ali Khan menyampaikan ceramah bertajuk Refleksi terhadap Ekonomi Global: Perspektif al-Quran pada sesi perkongsian eksklusif bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Nouman Ali Khan di Moxy Hotel, IOI Putrajaya pada 26 Mei 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_702957" align="aligncenter" width="1314"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menyampaikan cenderhati kepada penceramah antarabangsa Nouman Ali Khan pada sesi perkongsian eksklusif bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Nouman Ali Khan di Moxy Hotel, IOI Putrajaya pada 26 Mei 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]


