PUTRAJAYA, 27 MEI: Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berharap Datuk Seri Rafizi Ramli akan terus menyumbang kepada pengukuhan parti itu meski tewas dalam pemilihan baru-baru ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Rafizi harus mengotakan janjinya sebelum ini untuk terus bersama parti.
“Harapnya beliau masih boleh terus menyumbang seperti janjinya sebelum ini bahawa beliau tidak akan meninggalkan parti, dia mahu menyumbang sebagai ahli dan dalam masa sama dia masih anggota parlimen untuk KEADILAN.
“Dalam satu atau dua hari lagi akan ada mesyuarat pimpinan parti. Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) minta untuk diadakan segera untuk kita bincang pelbagai perkara selepas pemilihan,” katanya.
Beliau ditemui selepas sesi perkongsian eksklusif bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Nouman Ali Khan bertajuk Refleksi terhadap Ekonomi Global: Perspektif al-Quran di sini, malam tadi.
Pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti itu bagi penggal 2025-2028 23 Mei lalu, Nurul Izzah Anwar dipilih Timbalan Presiden KEADILAN dengan jumlah undi 9,803 menewaskan Rafizi.
Rafizi sebelum ini berkata tanpa mengira keputusan pemilihan KEADILAN, beliau akan terus menyumbang kepada pengukuhan parti itu.
Menurutnya, apa jua pilihan perwakilan, ia membuka ruang kepadanya untuk menawarkan sumbangan menguatkan parti berdepan pilihan raya umum ke-16.
[caption id="attachment_702615" align="aligncenter" width="1171"] Naib Presiden KEADILAN Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam sesi penggulungan Kongres Nasional tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi tahun 2024/2025 di Persada Johor pada 24 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]