PUTRAJAYA, 24 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Ringan Sungai Puloh, Klang, Selangor dalam Op Gasak kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu Gas Petroleum Cecair (LPG).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dalam kenyataan hari ini berkata serbuan pada Rabu (21 Mei), dibuat selepas risikan selama sebulan.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas lokasi serbuan ini mendapati, premis Merupakan syarikat pemborong dan pengedaran LPG yang mempunyai lesen yang sah.
“Namun selepas tamat waktu operasi, ia dijadikan tempat untuk menjalankan aktiviti penyiringan iaitu aktiviti pemindahan LPG bersubsidi daripada tong berkapasiti 14 kilogram (kg) untuk kegunaan isi rumah ke dalam tong berkapasiti 50kg untuk kegunaan industri, dengan menggunakan hos penyambung yang direka khas,” katanya.
Azman berkata sebanyak 1,530 tong LPG, hos penyambung, pelantar penimbang dan beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu temasuk tiga lori tiga tan, telah disita untuk siasatan lanjut, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000.
Beliau berkata tiga lelaki termasuk seorang warga tempatan, berusia lingkungan 25 hingga 47 tahun, yang merupakan pekerja di premis itu, ditahan untuk membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
Azman berkata KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.
- BERNAMA