OLEH NORRASYIDAH ARSHAD dan DEWI ABDUL RAHMAN
JOHOR BAHRU, 24 MEI: Keberanian Tan Sri Azam Baki menentang ‘tauke besar’ sepanjang menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi faktor kontraknya sebagai ketua pesuruhjaya disambung.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun dibangkitkan pelbagai pihak termasuk pembangkang, namun pilihan itu tepat kerana agensi berkenaan menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani rasuah berskala besar.
“Ada orang bicara dan suara pembangkang sibuk tentang penyambungan kontrak Tan Sri Azam Baki. Saya nak sebut saya tidak nafikan teguran yang dibangkitkan.
“Saya percaya melihat kepada perkembangan SPRM puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua tauke besar.
"Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan kawan (Kabinet), boleh ganti (Azam) esok tapi saya tidak yakin yang baharu itu berani menyinggung tauke besar yang punyai bilion ringgit kekayaannya,” katanya.
Berucap pada perasmian Kongres Nasional KEADILAN malam tadi, Anwar melahirkan rasa kecewa kerana tindakan SPRM sering disalah tafsir sebagai bermotif dendam sedangkan tidak ada sokongan terbuka daripada pengkritik ketika agensi itu melakukan tindakan berani.
“Tidak pun sebut malah secara senyap mereka menyokong. Saya tidak dapat terima kenyataan ini. Tidak ada sokongan, malah bila kita ambil tindakan, dikata tindakan dendam,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan Azam diberi mandat untuk terus meneraju SPRM untuk tempoh setahun berkuat kuasa 13 Mei sehingga 12 Mei 2026.
Berhubung konflik antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), Anwar menegaskan semua perjanjian dimeterai kekal diterima pakai dan tidak dirombak termasuk perjanjian penjualan petroleum dari Sarawak ke Jepun, Korea Selatan dan China.
“Petronas turut memberikan jaminan bahawa semua keperluan domestik Sarawak akan dipenuhi sepenuhnya, sejajar dengan semangat kerjasama antara syarikat minyak negara itu dengan syarikat minyak milik kerajaan negeri Sarawak.
“Di samping itu Petronas memberikan jaminan semua keperluan domestik Sarawak mesti ditunaikan dan semua usaha-usaha baru harus berlaku dengan rundingan dengan semangat bersama di antara Petronas dan Petros,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu jelas mencerminkan makna sebenar sebuah kerajaan yang perlu mengutamakan perbincangan dan permuafakatan demi mencapai keseimbangan serta kejelasan dalam setiap keputusan.
Anwar turut mengaitkan perkara ini dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut melibatkan peruntukan tambahan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan keperluan semasa.