GUA MUSANG, 24 MEI: Sseorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Sumar, Kuala Betis, Selasa lalu, ditemukan lemas semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mayat Chan Chong Cheng, 51, ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), tersangkut di celahan kayu tumbang dalam sungai tersebut, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, kenderaan mangsa ditemukan hanyut kira-kira 120 meter dari tempat kejadian, kelmarin.
“Operasi SAR dimulakan pada pukul 9.15 pagi dengan kaedah menghilir sungai. Mangsa ditemukan pasukan SAR pada pukul 10.20 pagi,” katanya dalam kenyataan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya gagal melepasi arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Sumar, Kuala Betis, di sini.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Pos Bihai atas urusan kerja bersama dua penumpang warga Pakistan dan Bangladesh, yang sempat menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin kenderaan sebelum ia dihanyutkan arus.
- BERNAMA