Oleh: Dewi Abdul Rahman
JOHOR BAHRU, 23 MEI: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2025 menyaksikan Nurul Izzah Anwar dinobat timbalan presiden baharu selepas memenangi pemilihan jawatan itu bagi sesi 2025-2028 sekali gus mencipta sejarah wanita pertama memegang jawatan kedua tertinggi itu.
Dengan jumlah undi 9,803, beliau menewaskan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli melalui keputusan rasmi diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada jam 10 malam di Pusat Antarabangsa Persada Johor.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Permatang Pauh pada pemilihan peringkat Cabang baru-baru ini.
Pada pemilihan 2022, beliau yang turut terkenal dengan gelaran 'puteri reformasi' tidak menawarkan diri untuk bertanding, telah dilantik sebagai naib presiden.
Dalam pada itu Nurul Izzah dalam laporan Bernama berkata, beliau berazam untuk memberi fokus bagi merangka usaha ke arah memperkukuh parti bersama kepimpinan baharu.
Beliau juga akan berkongsi perancangan sebagai timbalan presiden selepas kongres itu berakhir.
“Saya mohon doa, saya dan suami akan berangkat ke Makkah menunaikan ibadah haji nanti,” katanya.
Lebih 30,000 perwakilan mengundi secara fizikal dan atas talian pada pemilihan hari ini.
Kongres yang dirasmikan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan kepimpinan tertinggi parti.
Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Sabah (UPKO) Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Kongres KEADILAN akan diteruskan esok dengan sesi perbahasan dan penggulungan oleh presiden, naib ketua, timbalan ketua dan ketua sayap.