KUALA LUMPUR, 23 MEI: Kumpulan 'Ejen 001' dan 'Al Ameen' yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan serta pemalsuan dokumen Imigresen tumpas ketika serbuan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sekitar ibu negara, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata berdasarkan risikan selama dua minggu, pihaknya menyerbu tiga lokasi sekitar Jalan Ampang dan Jalan Kia Peng di sini pada 12.10 tengah hari sebelum menahan lima warga China serta seorang warga Myanmar berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun seterusnya menumpaskan kumpulan Ejen 001.
Beliau berkata pasukan operasi menyita 23 pasport China, satu pasport Vanuatu, dua set unit pemprosesan pusat komputer, cap premis, empat telefon bimbit, dua pas pekerja, dua set salinan permohonan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, satu dokumen perjalanan China serta wang tunai RM50,000.
"Siasatan awal mendapati seorang lelaki warga China disyaki menjadi dalang utama dalam menawarkan perkhidmatan berkaitan dokumen Imigresen kepada warga China yang lain di negara ini seperti permohonan Pas Lawatan Sosial dan Pas Khas," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata Ejen 001 berselindung di sebalik premis pejabat yang dijadikan pusat operasi bagi mengaburi pihak berkuasa dan bayaran yang dikenakan adalah antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap perkhidmatan serta dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu.
Menerusi serbuan kedua pada 5.42 petang di tiga premis perniagaan sekitar Jalan Raja Laut di sini, beliau berkata pasukan operasi menahan tiga lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 24 hingga 32 tahun yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen Imigresen iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS).
Zakaria berkata hasil maklumat awam dan risikan selama tiga minggu mendapati kumpulan digelar 'Al Ameen' itu menjalankan kegiatan pemalsuan ePLKS dengan menyasarkan warga Bangladesh yang tidak mempunyai mempunyai pas kerja untuk bekerja di Malaysia.
“Hasil semakan pada Kod QR di ePLKS mendapati pemilik merupakan individu lain dan tiada maklumat manakala sindiket ini berselindung di sebalik kedai telefon bimbit bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti haram ini dan telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.
Beliau berkata kadar bayaran yang dikenakan adalah RM30 hingga RM70 bagi satu unit ePLKS palsu yang akan digunakan pelanggan untuk bekerja di negara ini.
Pasukan operasi menyita 18 pasport Bangladesh, satu pasport Pakistan, tiga unit komputer riba, dua unit mesin pencetak, kamera litar tertutup, lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan wang tunai RM3,446.
Zakaria berkata kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut dan tindakan undang-undang dikenakan mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu, lapan warga tempatan diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. Jabatan Imigresen akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyalahgunaan dokumen dan pelanggaran undang-undang Imigresen,” katanya.
- BERNAMA