AGENDA

Asean: Mesyuarat jawatankuasa perwakilan tetap berlangsung hari ini

23 Mei 2025, 12:14 AM
Asean: Mesyuarat jawatankuasa perwakilan tetap berlangsung hari ini

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke Asean (CPR) akan berlangsung di sini hari ini menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mesyuarat peringkat tinggi itu akan menghimpunkan wakil-wakil tetap Asean, Duta Besar Timor-Leste dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik-Keselamatan Asean (APSC).

Ia akan diikuti dengan siri mesyuarat persediaan yang terdiri daripada Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Asean (Prep-SOM), Mesyuarat Persediaan SOM Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Mesyuarat Persediaan Asean-GCC-China.

Prep-SOM ialah mesyuarat penyelarasan utama, diadakan sebelum Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) dan mesyuarat peringkat menteri atau sidang kemuncak, yang amat penting bagi menyenaraikan semua butiran, sebelum berlangsung rundingan atau pengumuman rasmi.

Pada sebelah malamnya pegawai-pegawai kanan Asean dijadual menghadiri majlis makan malam, yang dihoskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin sebagai sebahagian daripada program rasmi sidang kemuncak itu di Estate Federal Hill, Bukit Damansara.

Turut dijadualkan hadir ialah timbalan setiausaha agung APSC, pegawai-pegawai kanan dari Timor-Leste, serta wakil dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

Sidang kemuncak Asean tahun ini menandakan satu peristiwa penting kerana ia menampilkan Sidang Kemuncak Asean-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China yang pertama, mencerminkan perkongsian Asean yang semakin meningkat dengan rantau penting lain.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semasa lawatannya ke Arab Saudi pada Disember tahun lepas dipetik berkata Sidang Kemuncak Asean-GCC-China adalah untuk membentuk pakatan tiga hala yang berpengaruh dan membuka potensi besar untuk kerjasama pelbagai hala merentas sektor.

Beliau berkata ketiga-tiga blok itu mempunyai kekuatan unik mereka yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama yang efektif.

GCC blok Teluk terdiri daripada enam negara anggota: Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menggariskan visi strategik untuk fasa pertumbuhan Asean seterusnya berkata, integrasi ekonomi yang lebih kukuh, pengembangan perdagangan dan ketersambungan tenaga rentas sempadan akan menjadi tonggak utama di bawah kepengerusian Asean Malaysia tahun ini.

Ketika menjawab soalan mengenai hala tuju blok serantau itu di tengah-tengah persaingan geopolitik global yang semakin meningkat, Anwar berkata Malaysia berazam untuk memacu Asean melangkaui peranan tradisinya sebagai platform neutral ke arah menjadi kuasa yang lebih padu dan dipacu nilai di Indo-Pasifik.

“Sebagai sebahagian daripada teras kita pada tahun ini, kita beri tumpuan kepada usaha mengukuhkan kesepaduan Asean, meningkatkan minat ekonomi dan perdagangan, di samping meningkatkan pelaburan dalam kalangan negara anggota,” katanya semasa sesi taklimat berkaitan Sidang Kemuncak Asean 2025 bersama ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, Sabtu lepas.

Sementara itu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata lebih 1,200 petugas media, termasuk lebih 500 daripada agensi berita antarabangsa, telah mendaftar untuk membuat liputan Sidang Kemuncak Asean ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini.

Beliau berkata angka itu mencerminkan minat agensi media global dalam sidang kemuncak ini, yang akan dipengerusikan oleh Malaysia.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan”, ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi Asean selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015

-BERNAMA