ad
AGENDA

Polis tubuh pasukan khas tangani isu jemaah haji terkandas

22 Mei 2025, 11:59 PM
Polis tubuh pasukan khas tangani isu jemaah haji terkandas

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Lembaga Tabung Haji (TH) akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas menangani isu jemaah haji yang terkandas pada musim haji tahun ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata ia adalah langkah strategik bagi memastikan setiap aduan berkaitan isu jemaah haji terkandas dapat ditangani secara teratur dan berkesan.

Beliau berkata pasukan itu akan bermula pada 8 pagi, 30 Mei dan beroperasi secara 24 jam setiap hari.

Muhammed Hasbullah berkata pusat operasi pasukan itu bertempat di Bilik Mesyuarat One Stop Center, Aras 2, Parkir Blok B, Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“Pasukan khas ini akan menyelaras siasatan, pengurusan dokumentasi serta tindakan undang-undang terhadap individu atau pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam penipuan tawaran haji,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata PDRM, Motac dan TH masing-masing mempunyai bidang kuasa dan perundangan tersendiri dalam menangani pelbagai bentuk kesalahan berkaitan penipuan haji dan segala tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Muhammed Hasbullah berkata sebagai langkah pencegahan, bakal jemaah haji dinasihati supaya membuat semakan terperinci terhadap pakej haji yang ditawarkan serta memastikan syarikat yang terlibat berdaftar dengan TH bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.